www.shiar-islam.com

ARTIKEL PILIHAN :

SAR Raudhatul Ilmi pelopori Rawi dan Marhaban

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Mega ms2, Utusan Malaysia Khamis 29 Mac 2007

PEPATAH Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ cukup sinonim dengan urusan mentarbiah kanak-kanak sama ada ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak perlu diasuh dan dididik dengan sempurna sejak mereka kecil lagi.

Apatah lagi pada tahap usia sebegini, otak kanak-kanak seperti span yang mempunyai daya serapan yang tinggi. Sehubungan itu, pihak pentadbiran Sekolah Agama Rakyat (SAR) Raudhatul Ilmi di Taman Serdang Jaya, Sri Kembangan, Selangor telah berusaha mewujudkan kelas Rawi & Marhaban di sekolah tersebut.

Ia sebagai satu cabang kokurikulum yang dilihat bertepatan dengan usaha kerajaan melahirkan para pelajar yang berpersonaliti unggul.

Menurut Guru Besar SAR Raudhatul Ilmi, Zahratul Falakh Selamat, kelas yang ditubuhkan sejak 1995 itu adalah rentetan daripada penganjuran Ujian Kemahiran Amal Islami bagi sekolah-sekolah agama negeri Selangor.

“Alhamdulillah sejak penubuhan kelas Rawi dan Marhaban, penyertaan para pelajar begitu membanggakan biarpun setiap peserta yang berminat menyertainya terpaksa melalui proses uji bakat bagi memenuhi beberapa kriteria yang diperlukan,” katanya kepada MEGA, baru-baru ini.

Kata Zahratul Falakh, sekolah tidak pernah mengehadkan usia kanak-kanak menyertainya asalkan mereka berminat serta memenuhi kriteria. Sehingga kini, kelas tersebut mempunyai 14 anggota iaitu tujuh lelaki dan tujuh perempuan berusia 10 hingga 12 tahun.

“Kejayaan sekolah ini muncul johan di peringkat zon dan daerah amat dibanggakan. Malah pasukan kami juga pernah sampai ke peringkat negeri, cuma belum ada rezeki bergelar johan.

“Sebenarnya, kejayaan ini tidak datang begitu sahaja tanpa usaha dan kerja keras dua gurunya iaitu, ustazah Alfiah Alwi dan ustazah Sumimi Dasaki,” kata Zahratul Falakh.

Kesungguhan para pelajar kelas Rawi & Marhaban ini jelas terbukti apabila mereka sanggup meluangkan masa antara setengah hingga satu jam setiap petang untuk sesi latihan.

Lantaran itu, tidak hairanlah sekolah ini bukan sahaja menyiapkan diri untuk setiap pertandingan tetapi turut memenuhi jemputan ke majlis-majlis seperti bercukur jambul, perkahwinan dan khatam al-Quran sekitar Selangor.

“Kokurikulum ini diharap dapat melahirkan para pelapis dalam salah satu cabang kesenian Islam ini lebih-lebih lagi aktiviti sebegini kebiasaannya dilakukan oleh golongan dewasa sahaja. Bakat-kanak-kanak ini kalau diasah sejak awal lagi, pasti tidak mustahil berjaya meneruskan tradisi masyarakat Melayu Islam di sini,” tambahnya.

Sebenarnya apa yang dibaca dalam Rawi itu setidak-tidaknya dapat melembutkan hati kanak-kanak ini. Apatah lagi, ia mengandungi kisah Nabi Muhammad s.a.w.

“Sebenarnya, saya tidak mengharapkan gelaran johan setiap kali mereka bertanding. Apa yang penting, kesungguhan dan keazaman serta kerja kumpulan itu cukup memuaskan hati pihak sekolah,” katanya. Sekolah itu kini mempersiapkan diri untuk pertandingan peringkat zon pada 15 April ini.

 

Dimuatnaik pada: Khamis 24 Rabiulawal 1428 H (12 April 2007)

>>>balik