www.shiar-islam.com

ARTIKEL PILIHAN :

Berzanji perlu disuburkan

oleh Mohd.  Radzi Mohd. Zin

Mega ms3, Utusan Malaysia Khamis 29 Mac 2007

BERZANJI adalah antara amalan yang sinonim diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul. Hal itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana berzanji adalah doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w.

Selain itu, berzanji juga dianggap mempunyai nilai kesenian yang amat tinggi mutunya kerap menjadi halua telinga dan hiburan semasa majlis perkahwinan, akikah dan berkhatan.

Bagaimanapun, senarionya kini dilihat semakin berubah. Bilangan ahli berzanji semakin berkurangan. Kesannya, kemerduan alunan berzanji yang mengajak kita mengingati baginda s.a.w juga semakin lama semakin hilang.

Inilah antara kebimbangan kepada tokoh berzanji dan juga al-Quran yang disegani, Datuk Hassan Azhari. Malah katanya, dakwaan sesetengah pihak yang amalan berzanji sebagai bidaah adalah antara punca hilangnya minat masyarakat terhadap perkara tersebut.

“Saya tidak nampak di mana bidaahnya kerana saya menganggap amalan ini sebagai antara syariat Islam. Sebabnya dalam berzanji kita mengingat, berselawat dan memuji Rasulullah,” katanya dalam pertemuan dengan MEGA, baru-baru ini.

Dalam Islam, kita disuruh supaya berselawat ke atas nabi malah ada hadis yang bermaksud, “Barang siapa yang berselawat ke atas ku sekali, maka Allah berselawat ke atasnya 10 kali.

Menurut Sufyan at-Thauri, berselawat Allah bermaksud keampunan Allah kepada hamba-Nya.

Hassan berkata, walaupun bidaah adalah mengadakan sesuatu dalam agama yang tidak ada dalam zaman Nabi Muhammad, tetapi ia mempunyai beberapa jenis kategori seperti bidaah hasanah (baik) dan bidaah dalalah (haram).

Katanya, berzanji tergolong dalam bidaah hasanah iaitu bidaah mubah, boleh diamalkan atau sebaliknya.

Malah, menurut beliau, jika berdasarkan pemikiran yang sempit, usaha pengumpulan al-Quran oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq yang kemudiannya disempurnakan dalam bentuk mushaf pada zaman Khalifah Usman ibn Affan juga boleh dianggap bidaah.

“Ia dikategorikan sebagai bidaah wajib kerana jika usaha itu tidak dilakukan dikhuatiri umat Islam yang terkemudian tidak lagi mengenali al-Quran. Sebabnya pada ketika itu ramai huffaz yang syahid dalam peperangan,” jelasnya.

Hassan menambah, berzanji sudah bertapak di negara ini sejak lebih 100 tahun lalu. Antara ahli berzanji yang masyhur ialah Haji Sulaiman Johor, Haji Khaled, Haji Walid, Shafie Kati di Selangor dan di Singapura, Haji Yusof.

Kemasyhuran berzanji ini bukan sahaja meliputi negara rantau Asean tetapi juga di Mekah. Antara tokohnya ialah Hassan Jawah, Umar Arbaien dan Abu Samad Jambi.

“Bagaimanapun, sebahagian besar ahli-ahli berzanji itu sudah meninggal dunia dan masih belum ada pengganti,” katanya yang turut memperdengarkan bacaan rawi dengan gabungan lagu rakbi dan hijaz.

Hassan berkata, antara lagu Hijazi dalam berzanji yang popular ialah banjaka, husaini, mayah, ras atau rakbi, jaharka, sikah dan dukah. Lagu-lagu Masri pula ialah soba, nahwand, ‘ajam, bayati, sika, dukah dan hijaz.

Kata beliau, semasa membacanya, ia mempunyai lagu jawab. Contohnya, rakbi lawannya hijaz, husaini lawannya dukah dan jaharkah lawannya ‘usyak.

“Kebolehan menguasai lagu-lagu ini membuatkan pendengar menjadi asyik. Sebab itu dalam majlis-majlis berzanji ia selalunya berlangsung selepas isyak sehinggalah pukul 12 tengah malam.

“Apa tidaknya, antara sirah yang terkandung dalam berzanji ialah yang menceritakan bahawa Rasulullah adalah seorang pemalu, yang menjahit sendiri baju dan kasut baginda serta memerah susu sendiri,” katanya.

Dari segi bacaan, yang dipentingkan dalam berzanji ialah makhraj huruf dan bukannya tajwid sebagaimana dalam membaca al-Quran. Bagaimanapun, mereka yang fasih dalam tajwid juga mempunyai kelebihan kerana dapat melagukan bacaan dengan baik di tempat yang dengung dan mad (panjang) serta mengetahui tempat-tempat idgham, izhar dan sebagainya.

Justeru, kata Hassan, adalah penting untuk menggabungkan tenaga kepakaran berzanji yang ada dibuat segera jika masyarakat mahu memastikan berzanji tidak berkubur.

“Kita boleh menghimpunkan ahli-ahli berzanji untuk menghidup dan menyemarakkan semula amalan ini serta menyusun modul khusus bagi melatih mereka yang berminat dalam seni ini,” jelas beliau.

Berzanji atau barzanji menceritakan kehidupan Nabi Muhammad yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul.

Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

 

Dimuatnaik pada: Khamis 24 Rabiulawal 1428 H (12 April 2007)

>>>balik