www.shiar-islam.com

ARTIKEL PILIHAN :

Utusan Malaysia, Khamis 12 April 2007

Pelaburan saham menerusi Internet haram - Majlis Fatwa Kebangsaan

KUALA TERENGGANU 12 April — Sebarang pelaburan saham melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan), demikian diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terlibat dengan pelaburan seumpama itu, seperti yang ditawarkan oleh Swiss Cash Mutual Fund, kerana masih banyak alternatif yang berlandaskan Islam yang boleh disertai untuk mendapatkan pulangan kewangan.

Bercakap kepada pemberita selepas Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan bahawa penggunaan nada dering ayat-ayat Al-Quran atau azan pada telefon bimbit pada prinsipnya “tiada halangan atau diharuskan”.

Bagaimanapun, pengguna telefon bimbit terbabit perlulah menjaga adab Islam dengan tidak menggunakannya di tempat yang tidak sesuai yang boleh mencemarkan kesucian ayat-ayat al-Quran itu sendiri.

Majlis itu juga membuat keputusan bahawa pameran mengenai jin, hantu dan keranda adalah ditegah kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada akidah umat Islam.

“Perkara-perkara ini tidak boleh dicapai (oleh akal fikiran) manusia kerana ia membabitkan alam ghaib. Kita juga tidak mahu menyogokkan sangat kepada orang ramai mengenai perkara-perkara tahyul dan khurafat yang hakikatnya kita tidak tahu.

“Jadi tidak perlulah kita mengambil perhatian ataupun memperbesar perkara ini (dengan mengadakan pameran seumpama itu),” katanya.

Muzakarah kali ini turut mencapai kata sepakat untuk menerima pakai keputusan muzakarah ke-44 pada 25 Jun 1998 berhubung penggunaan nama saudara baru iaitu nama itu hendaklah tidak berunsur lucah dan hendaklah memberi makna yang sesuai dan baik.

“Perlis juga bersetuju pada prinsipnya. Mereka hanya berbeza sedikit iaitu masih mengekalkan bin atau binti bapa yang bukan Islam itu,” katanya merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis bahawa bagi orang bukan Islam yang memeluk agama Islam adalah dilarang menukar nama kepada “bin atau binti Abdullah” sebaliknya mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka. - Bernama

 

Dimuatnaik pada: Isnin  28 Rabiulawal 1428 H (16 April 2007)

>>>balik