|| Laman Utama || Asas Syariat Islam || Tulisan Ustaz || Belajar Bahasa Al-Quran || Artikel Pilihan || Audio || Derma ||


10 SEKOLAH LATIH PENIPU

oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman

(Harian Metro, Rabu, 19 October 2011, MS 19)

Kuala Lumpur: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di Negara mereka sebelum di hantar ke Negara sasaran.

Sasaran polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.

Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Sisatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga Negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan computer dan Internet.

“Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa Negara itu.

“Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis.” Katanya kepada Harian Metro.

Victor berkata, ada sebahagian ‘pelatih’ sekolah menipu itu Berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke Negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.

“Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di Negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadh,” katanya.

Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai  kaedah penipuan Black Money.

“Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan emnghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.

Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti member impak besar dalam penukaran kegiatan jenayah  lelaki Nigeria apabila sisatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah ‘lulusan’ sekolah itu.

Pada 29 September lalu, muka depan harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dah puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam computer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan statistic Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa.

Siasatan polis mendapati sindiket penipuan warga Nigeria di Negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.


>> Guna taktik ‘perempuan tipu perempuan’

Ipoh: Taktik ‘perempuan tipu perempuan’ (PTP) diguna pakai sindiket penipuan didalangi lelaki Afrika dikesan mengupah dua wanita tempatan untuk memudahkan mereka menjerat cinta wanita warga Malaysia.

Dua wanita tempatan berusia 30 hingga 40 tahun itu digunakan sindiket untuk memudahkan mereka menyamar dan berkomunikasi menggunakan laman social Facebook atau Tagged dengan ramai mangsa sebelum mereka diperdaya membabitkan kerugian RM850,000.

Suspek wanita itu turut dibayar untuk menyamar sebagai pegawai Kastam Diraja Malaysia (PDRM) atau syarikat penghantaran kurierbagi menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang kedalam akaun ditetapkan.

Kegiatan penipuan licik itu bagaimanapun ditumpaskan selepas dua wanita tempatan diberkas bersama 13 ahli sindiket lain hasil beberapa serbuan awal bulan ini di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek didalangi 12 lelaki warganegara Nigeria dan seorang wanita Singapura diberkas 7 Oktober lalu selepas polis melakukan siasatan rapi berhubung 44 laporan kes penipuan itu.

Menurutnya, ahli sindiket terlebih dahulu berkenalan dengan mangsa yang kebanyakannya wanita tempatan menerusi taman social Facebook.

“Mangsa kemudia diperdaya dengan pelbagai janji palsu iaitu bakal menerima kiriman bungkusan hadiah berisi wang tunai dan barangan kemas.” Katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, beberapa ahli sindiket lain menyamar sebagai pegawai Kastam atau syarikat penghantaran kurier sebelum menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya bungkusan hadiah itu ditahan.

“Mangsa dipujuk supaya membuat bayaran pelepasan dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bagi mendapatkan bungkusan itu.

Wanita bekerjaya yang menjadi mangsa itu juga mudah jatuh cinta melalui laman Facebook dan hanya menyedari ditipu apabila hadiah dijanjikan tidak sampai ke tangan selepas bayaran dibuat,” katanya.

Mohd Shukri berkata, hasil penahanan itu pihaknya merampas beberapa peralatan digunakan sindiket itu termasuk beberapa computer riba, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM11,500.