Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
Berkerja sebagai ibadah
ALLAH S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai
Muhamad) ! Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang
beriman akan melihat akan apa yang kamu kerjakan”. (al-Quran: Attaubah 105)
Oleh itu semua kita wajib
bekerja, temasuk suami / isteri, untuk mencapai kebahagiaan hidup kita di dunia
dan juga di akhirat. Hak dan kewajiban Suami adalah untuk melindungi isteri dan
anak-anaknya, menyediakan segala keperluan hidup mereka seperti rumah tempat
tinggal, memberikan nafkah perbelanjaaan, mendidik dan membimbing anak isteri ke
jalan yang diredhai Allah. Hak dan kewajiban isteri pula, termasuklah mentaati
suami, mengurus rumahtangga, mendidik anak ke jalan yang diredhai Allah, melayan
suami, dan sebagainya.
Semua kerja yang dilakukan jika sekiranya diniatkan kerana mematuhi dan mengharapkan keredhaan Allah, maka jadilah ia amal soleh. Semua amal perbuatan yang kita lakukan kerana mematuhi perintah Allah adalah IBADAH.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan sedangkan ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan ". (al-Quran: Annahl 97)
Isteri Yang Berkerja
Di zaman serba canggih sekarang
ini, ramai isteri terpaksa bekerja atas pelbagai sebab. Ada yang bekerja
disebabkan untuk menanggung mak ataupun adik beradik yang masih kecil. Ada pula
kerana ditinggalkan suami yang tercinta (meninggal dunia), bercerai, suami sakit
dan sebagainya.
Meskipun demikian, jika kedua-dua suami isteri bekerja dan dapat menunaikan tugas masing-masing dengan baik, dan mematuhi perintah Allah dan RasulNya, dapat mencipta rumah tangga bahagia, dalam keadaan tenang dan tenteram, dan dalam hati kedua-duanya terpatri rasa cinta dan kasih sayang, saling hormat menghormati, sehingga melahirkan zuriat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara, maka pekerjaan mereka telah mendapat barokah dan diredhai oleh Allah s.w.t, apa yang mereka kerjakan itu jika diniatkan kerana Allah menjadilah pekerjaan itu sebahagian daripada IBADAH.
Cabaran Isteri
Berkerja
Sejak awal pagi lagi selalunya
suami isteri yang berkerja akan ke pejabat. Mereka pulang setelah petang, malah
ada yang sampai di rumah setelah malam hari kerana
kesesakan ataupun halangan lain di jalan raya. Penjagaan anak-anak pula
diserahkan sepenuhnya kepada pembantu, ataupun diserahkan ke Taska ataupun
Tadika.
Suami isteri tiba di rumah
dalam keadaan penat, menyebabkan anak-anak kurang mendapat kasih sayang, suami
tidak mendapat layanan, kesihatan
isteri selalu terganggu dan pertengkaran suami isteri menjadi lumrah.
Keadaan ini bertambah parah jika berlaku pendurhakaan
anak-anak terhadap orang tua. Jika keadaan
ini berlanjutan, ini menunjukkan kita tidak dapat mengendali hidup dengan
baik. Lebih teruk lagi boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga. Jadi,
bahagia yang dikejar semakin jauh dari kenyataan, walaupun kemewahan wang
ringgit sudah tercapai.
Kita jangan lupa bahawa tujuan
perkawinan ialah untuk mencipta
suasana aman tenteram dan kasih sayang suami isteri . Allah berfirman yang
maksudnya:
"Dan diantara tanda yang
membuktikan Kekuasaan dan RahmatNya, bahawa la menciptakan jodoh dari dirimu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan
antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang." (al-Quran: Arrum: 21)
Oleh itu, kehidupan yang mesra
dengan diliputi perasaan cinta dan kasih perlu terus dijaga meskipun kedua suami
isteri bekerja, kerana suasana seperti ini akan menjadi contoh teladan bagi
anak-anak kita. Supaya mereka tidak mengulangi kembali penderitaan yang telah
dialami kedua orang tua mereka dalam kehidupan mereka.
Kehidupan mesra yang penuh
dengan kasih sayang boleh dicapai jika suami-isteri
saling berkerjasama, saling tolong menolong, dengan perasaan kasih sayang.
Sediakan masa yang secukupnya untuk keluarga dengan pergi
berkelah misalnya. Sentiasa berbincang dan mengatasi segala kesulitan
yang timbul secara bersama. Jika hal ini boleh kita ujudkan
insya Allah rumah tangga bahagia dapat dipertahankan..
Kita dan Harta Milik Allah
Bekerja kuat ketika muda adalah baik sekali, sebelum badan dimamah usia. Kita perlu pandai menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk simpanan dihari tua. Meskipun demikian kita jangan lupa, bahwa segala apa yang telah kita miliki itu adalah kepunyaan Allah s.w.t., yang dipinjamkan kepada kita. Oleh itu kita mesti pandai bersyukur atas segala nikmatNya, dan bila ditimpa musibah kita patut bersabar, dengan demikian hidup kita akan tenang, Insya Allah.
Bekerja adalah suatu
kebajikan. Tolong menolong antara suami dan isteri adalah sesuatu yang dituntut
oleh Allah sebagaimana firmanNya
yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertutung-tulungan pada melakukan dosa dan pencerobohan."(Al-Quran surah
Al-Maidah: 2)
Sebaliknya jika suami mampu
menanggung semua keperluan hidup, dan isteri memilih bekerja dirumah sepenuh
masa, maka itu adalah lebih baik. Kerana bekerja di rumah dan mendidik anak-anak
untuk menjadi anak yang berguna, bukanlah pekerjaan yang mudah. Meskipun ada
pembantu rumah, sudah tentu penjagaan dan didikan seorang ibu lebih daripada
penjagaan dan pendidikan pembantu rumah.
Atas sebab ini, ada isteri-isteri yang mengorbankan pekerjaan mereka, demi rumah tangga. Pendidikan yang tinggi yang mereka dimiliki akan membantu mereka dalam membina masa depan yang cemerlang untuk anak-anak.
Nabi s.a.w. telah
mengingatkan kita:
"Setiap anak yang
dilahirkan adalah suci, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi,
atau Nasrani atau Majusi." (H.R.Abu Ya’1a, Thabrani, dan Baihaqi)
Tujuan pendidikan Islam ialah
untuk menyiapkan anak-anak kita, supaya jika mereka dewasa nanti mereka boleh
melaksanakan dengan baik pekerjaan dunia dan amalan akhirat, sehingga tercipta
kebahagiaan dunia dan kebahagiaan di akhirat, Untuk itu mereka perlu dididik
menjadi orang yang beriman dan beramal soleh. Perlulah kepada mereka diberikan
didikan keimanan, akhlak, ibadah solat, puasa, dan sebagainya, dan mereka perlu
dibimbing kejalan yang diredhai Allah.
Sudah tentu mereka perlu
mendapat pendidikan untuk mengerjakan berbagai Ilmu Pengetahuan keduniaan
lainnya seperti berdagang, berternak, bertukang, menjadi guru, petani, semua ini
meskipun kelihatan keduniaan jika sekiranya diniatkan kerana Allah jadilah ia
ibadah., kerana semua ini juga perintah Allah supaya kita memakmurkan bumi ini
sebagai mana firmanNya yang bermaksud:
"Dialah yang menjadikan
kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya".
(al-Quran: Hud: 61)
Untuk meujudkan generasi
muda harapan Ummat sedemikian rupa, maka amat diperlukan suatu keluarga bahagia,
keluarga yang menjadi contoh teladan, suami isteri yang rukun dan damai, dimana,
suasana tulung menulung adalah menjadi amalan harian, suasana aman tenteram
sebagaimana menjadi tujuan dan perkawinan menjadi kenyataan.
Baginda Rasulallah s.a.w. dan keluarganya adalah tempat rujukan kita yang utama. Sejarah telah mernbuktikan, betapa rasa cinta dan kasih sayang Nabi s.a.w. terhadap isterinya Siti Khadijah demikian pula sebaliknya. Demikian pula betapa kasih sayang anak Baginda Fatimah Azzahra terhadap ayahandanya dan suaminya adalah menjadi contoh teladan bagi kita yang sebaik-baiknya.
Kasih Sayang Terhadap Isteri
Kasih sayang Nabi s.a.w
terhadap isterinya Khadijah bukan saja ketika hidup, malah sehingga Khadijah
wafat, Nabi masih selalu menyebut-nyebut jasa baik Khadijah, sehingga
menimbulkan rasa cemburu kepada Aisyah. Nabi s.a.w. tak dapat melupakan jasa
bakti Khadijah ketika Baginda masih dalam kesusahan. Khadijah telah mengorbankan
seluruh apa yang ada padanya demi untuk perjuangan menegakkan Islam. Kasih
sayang Nabi kepada isterinya Khadijah bukan saja ketika masa hidup Khadijah,
malah hingga wafatnya, sehingga selama hayat Khadijah Nabi s.a.w. hanya seorang
saja isterinya, yaitu siti Khadijah.
Demikian pula ananda Baginda
Fatimah Azzahra, telah bekerja keras membina rumah tangga bahagia, bersama
suaminya yang tercinta, sehingga pecah-pecah tangannya kerana mengisar gandum,
untuk makanan sekeluarga. Pernah suaminya mengesyorkan kepada Fatimah supaya
menemui ayahnya untuk meminta sekedar bantuan pembantu rumah untuk meringankan
tugas harian yang dialaminya.
Meskipun begitu kasih sayang
Nabi s.a.w. kepada anandanya Fatimah, kerana Fatimah memang semenjak kecilnya
ikut mengalami penderitaan yang dialami ayahandanya ketika Nabi s.a.w. mula
menegak, mempertahan dan memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. sedang
sujud mendapat gangguan dari orang Quraisy, mereka meletakkan kotoran binatang
dibelakang tubuh Nabi s.a.w. maka ketika itu dengan tangisan seorang anak kecil,
Fatimah membuang kotoran itu dari tubuh Nabi s.a.w.
Meskipun begitu rapat hubungan
antara Nabi dan Fatimah, tapi Nabi tidak memanjakan Fatimah malah Nabi s.a.w.
menasihatkan Fatimah Azzahra supaya tetap bersabar atas cubaan Allah s.w.t. itu,
kepada Fatimah Azzahra, nabi s.a.w. mengajarnya supaya membaca kalimah
Subhannallah 33 x, Alhamdulillah 33 x, Allahu Akbar 33 x, setiap selesai solat,
dan juga ketika hendak tidur dimalam hari, pesan Nabi s.a.w. telah diamalkan
oleh Fatimah Azzahra, dan juga amalan ini, biasa telah diamalkan oleh ummat
Islam.
Oleh kerana kesetiaan dan kasih sayang Fatimah terhadap suaminya Saidina Ali bin Abi Tbalib k.w. kita tahu selama Fatimah Azzahra masih hidup isteri Saidina Ali hanya sorang saja.
Pergaulan
Mudah-mudahan hal ini menjadi
pelajaran bagi kita Ummat Islam supaya suami sentiasa bergaul dengan isterinya
dengan baik, dengan penuh kasih sayang dan kesetiaan, demikian sebaliknya demi
untuk mencipta rumah tangga bahagia, sebagai contoh teladan yang telah
ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan anandanya Fatimah Azzahra. Kewajiban suami
bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik, sopan santun dan menghargai dan
menghormati isterinya Allah berfirman yang bermaksud:
“... dan gaulilah mereka (isteri)
dengan baik dan sopan, penuh pengertian dan bila ada sesuatu yang tidak kamu
sukai padanya (hendaklah kamu sabar) boleh jadi kamu benci kepada sesuatu,
sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak didalamnya.
(al-Quran surah Annisak: 19)
Amat menyedihkan pergaulan yang
mesra dan penuh cinta dan kasih sayang hanya ketika belum menjadi sumi isteri.
Ketika itu banyaklah kata-kata yang indah dan puja puji kita nyatakan. Akan
tetapi setelah menjadi suami isteri perasaan cinta dan kasih sayang itu semakin
lama semakin pudar, masing-masing mulai melihat segala kekurangan pasangannya,
yang berakhir dengan keinginan berpisah.
Amat malang jika perceraian itu
dibuat secara terburu-buru, malah ada yang sampai hati hanya dengan menggunakan
SMS. Meskipun perceraian itu dibenarkan, akan tetapi itu adalah jalan yang
terakhir sekali perceraian itu
meskipun halal tapi amat dibenci oleh Allah dan RasulNya, kerana akibatnya
amatlah besar, terutama sekali terhadap anak-anak yang menjadi korban perceraian.
Jadi Islam membenarkan suami
isteri bekerja asalkan pekerjaan itu sesuai untuk kedua, suami isteri dan dalam
keredhaan Allah s.w.t. Untuk itu perlulah kita menguatkan Iman kita dengan
mengikut perintah Allah dan RasulNya, dan kedua-dua suami isteri perlu. menjaga
kerukunan dan ketenangan , dan dapat melahirkan zuriat yang baik untuk
kebahagiaan hidup sekeluarga didunia hingga ke akhirat, dan lahirlah keturunan
yang berguna, untuk agama, bangsa dan negara dan berguna pula untuk Ummat
seluruhnya.