SIRI SOAL JAWAB UGAMA LAMAN SHIAR ISLAM

http://www.shiar-islam.com


Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas

SOALAN 1: Apakah ilmu ghaibah?

Hamba Allah, < rm2519@tmc.com.sg >



JAWAPAN SOALAN 1: 

Sebelum menjawab soalan yang saudara tanyakan tentang ilmu ghaibah, baiklah saya perbetulkan kalimat ghaibah yang saudara maksudkan adalah ilmu ghaib yang berasal daripada bahasa Arab yang bererti sesuatu yang tidak nampak, adapun ghaibah atau ghiibah juga berasal dari bahasa Arab yang bererti mengumpat atau membicarakan perkara perkara atau rahasia-rahasia orang-orang tertentu tanpa sepengetahuan orang tersebut atau dibelakang orang tersebut, amalan serupa ini juga dilarang dalam Islam. Adapun ilmu Ghaib ialah salah satu Rukun Iman yang wajib kita percaya padanya yang datang atau dikhabarkan oleh Allah atau RasulNya seperti perihal keimanan tentang Allah, para MalaikatNya, Surga dan Neraka, Hari Kiamat, Jin dan sebagainya yang telah dijelaskan dalam Al-Qur'an dan Hadits-Hadits yang shahih.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 2: Assalamu’alaikum…ustaz, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saya disini ingin bertanyakan suatu perkara pada saya amat wajib bagi saya mengambil berat perihal ini. Selalunya apabila kita pergi membeli belah sama ada dipasar raya besar mahupun kecil, kita selalu ada menggunakan troli barang. Disini apa yang saya kuatirkan troli tersebut digunakan oleh kebanyakan pelanggan yang akan menggunakan untuk meletakkan barangan yang halal dan yang haram seperti daging khinzir ?

Sekian wassalam,

Yang benar

Afezan.< afezan@virtualexchg.com.my>


JAWAPAN SOALAN 2:

Soalan saudara mengenai perkara menggunakan troli yang dikhuatirkan, telah digunakan untuk membawa barangan yang najis, sangat perlulah saudara ketahui bahawa ulama-ulama dalam memutuskan suatu hukum telah mempertimbangkan banyak aspek-aspek dan menggunakan kaedah-kaedah seperti : Hadits Shahih yang maksudnya : Tinggalkanlah perkara-perkara yang meragukan dan buatlah perkara yang tidak meragukan, Firman Allah yang bermaksud: Allah tidak membebani seseorang kecuali perkara -perkara yang ia dapat laksanakannya, dan firmanNya yang bermaksud: Allah tidak menjadikan agama (Islam ) ini menjadi sesuatu yang susah, dan hadits Shahih menyatakan yang maksudnya : "Mudahkanlah ! jangan menyusahkan, berilah khabar gembira, jangan membuat mereka lari !. "

Hukum. Islam tidak dikenakan pada perkara-perkara yang susah untuk dilaksakan atau melakukannya, atau suatu perkara yang tidak jelas kepastiannya. Jadi perihal troli tersebut apakah saudara pasti ia telah digunakan membawa benda najis dengan melihat sendiri dan adakah tampak bekas najis tersebut, apakah najis tersebut dalam keadaan basah yang melekat pada makanan yang kita akan makan atau makanan/barang terbungkus dengan selamat dalam beg plastik ?

Perkara ini serupa dengan saudara berjalan diwaktu hujan dan terkena air yang bertakung dijalan yang saudara tidak pasti apakah air tersebut mengandungi najis ? dan saudara tidak dapat menghindarinya. Akan tetapi jika saudara was-was dan ingin menanggalkan pakain yang terkena air tersebut, ataupun membersih tempat-tempat yang terkena air tersebut, itu adalah amalan yang baik . sebab Islam itu agama yang bersih dan suka kepada kebersihan.
 
 
 
 


SOALAN 3: Assalamu’alaikum w.w.,

Bapak yang terhormat,

Sebelumnya saya mengucapkan terimakasih atas tersedianya mail ini, sehingga memungkinkan saya dan orang lain untuk tanya jawab tentang Islam. Ada beberapa yang ingin saya tanyakan kepada Bapak:

  1. Bila suami isteri melakukan hubungan kelamin, diwajibkan untuk melaksanakan mandi wajib, yang saya tanyakan bagaimana jika dilakukan dibulan puasa. Apakah mandi wajib dilakukan sebelum imsak?…dan bagaimana hukumnya jika sebelum imsak…dan bagaimanakah hukumnya jika mandi wajib tersebut dilakukan setelah terbit matahari ?….
  2. Kita ketahui bahwa sesuatu yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu benda kedalam rongga yang terbuka, yang ingin saya tanyakan adalah `bagaimana jika kita akan ;mengambil air sembahyang (wudhu) atau sikat gigi ?
  3. Apakah binatang cacing tanah termasuk yang diharamkan dalam agama Islam ?…
Demkianlah saya sampaikan, sebelumnya saya ucapkan terimakasih.

Riswadi <riswadi@yahoo.com>
 



JAWAPAN SOALAN 3:

Soalan saudara perihal mandi wajib, adalah sah puasa saudara jika saudara melakukan mandi wajib setelah jimak dengan isteri baik saudara mandi tersebut sebelum imsak atau selepas terbitnya matahari kerana bersihnya seseorang dari pada hadats kecil atau hadats besar bukan daripada sahnya atau rukun puasa. Ia menjadi rukun untuk ibadah shalat, membaca, membawa Al-Qur'an dan tawaf sahaja, yang menjadi rukun puasa ialah Niat, meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya matahari sehingga terbenam, akan tetapi bilakah saudara melakukan shalat subuh jika saudara melaksanakan mandi tersebut selepas terbitnya matahari sedangkan shalat subuh telah berakhir masanya?

Soalan kedua : Yang dimaksudkan rongga disini ialah tenggorokan hingga ke bahagian perut, adapun mulut dan hidung dan telinga hanya jalan masuk kerongga tersebut, saudara akan merasakan hilangnya dahaga atau hilangnya perasaan lapar disebabkan makanan atau air jika ia telah masuk kerongga tersebut, berkumur ketika mengambil air sembahhyang dan sikat gigi adalah perkara yang disunnahkan, akan tetapi dalam mazhhab Syafi'e ia makruh jika dilakukan bagi orang yang berpuasa selepas matahari tergelincir iaitu selepas tengah hari.

Soalan yang ketiga: Binatang cacing tanah adalah yang diharamkan memakannya dikeranakan ia menjijikkan dan kotor. Islam suka kita memakan makanan yang baik lagi bersih.
 
 
 
 
 
 
 
 
 


SOALAN 4:

Saya bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Selangor. Dimana saya perlu membayar zakat ditempat saya mencari nafkah atau ditempat saya tinggal ?

Syahril Asni areels@hotmail.com
 



JAWAPAN SOALAN 4:

Soalan saudara yang berkenaan tentang zakat, saudara dapat membayarnya ditempat saudara bekerja iaitu di Kuala Lumpur atau ditempat saudara tinggal kerana selain tempat tersebut berdekatan, Ulama mensyaratkan untuk membayar atau membagikan zakat harus diutamakan negara yang ia duduk dan mencari nafkah disana, jika dharurat iaitu ada yang lebih mustahak atau tidak terdapatnya orang yang berhak menerimanya maka dibolehkan memberi zakat diluar negara yang tempat ia tinggal.

Soalan kedua : Apabila seseorang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah kita menyawabnya dengan selawat dan salam untuk Baginda. Akan tetapi bagaimana hukumnya jika kita menjawab selawat dan salam semasa khutbah Jum’at.

Menjawab selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah sunnah, baik semasa khutbah atau bukan dan hal tersebut tidak menjejaskan ibadah mendengar kutbah kerana selawat pun adalah salah satu ibadah yang digalakkan melakukannya dengan nas Alqur'an dan Hadits dan hanya membaca selawat yang singkat sahaja tidak akan melalaikan dari mendengar khutbah, seperti halnya membaca fatihah seorang makmum selepas imam selesai membaca Al Fatihah dalam shalat menurut mazhab Syafi'e adalah diwajibkan walaupun mendengarkan imam membaca surah lain selepas Al Fatihah adalah diharuskan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 5: Assalamu’alaikum w.w. ustaz yang saya hormati.

Saya ingin bertanyakan mengenai kaedah pembahagian harta jika berlaku kematian atas diri saya. Saya mempunytai ekaun caruman KWSP. Dan saya dalam peroses untuk mengisi semula borang penamaan untuk yang berhak mengikut hukum Islam.

Untuk pengetahuan ustaz saya masih mempunyai ibu dan bapa dan 4 orang adik- seorang lelaki dan 3 perempuan.Dan saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 1 tahun. Soalannya bagaimanakah pembahagian/pecentage yang perlu saya isikan menurut hukum Islam.

Semoga ustaz sentiasa dirahmati Allah. Terimakasih.

Shamsulaizan bin Md Zahid aizan@teras.com.my


JAWAPAN SOALAN 5:

Soalan yang saudara tanyakan tentang pembahagian warisan menurut Islam, dikeranakan saudara memiliki seorang anak lelaki maka untuk bahgian isteri adalah 1/8, untuk ibu dan bapak masing-masing 1/6 dari pada keseluruhhan harta dan anak lelaki mendapat sisa keseluruhannya. Adapun adik-adik saudara terhalang untuk mendapatkan harta tersebut dikeranakan adanya anak lelaki saudara. Untuk lebih jelasnya lagi saudara dapat menanyakan kepada pihak jabatan agama yang berdekatan dengan tempat saudara tinggal.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 6: Assalamu’alaikum ustaz:

Saya ingin tahu mengenai satu soalan.

Yang manakah seorang suami perlu dahulukan diantara nafkah (zahir) iterinya dan duit yang diberikan ke-pada ibunya. ? Untuk pengetahuan ustaz, iterinya bekerja (untuk menambah pendapatan) ibu bapa suami adalah dari kalangan keluarga yang agak susah hidupnya, si suami bukanlah begitu tinggi pendapatannya, tetapi oleh karena dia telah memberikan kepada ibunya sebanyak RM 600.00 setiap bulan semasa masih bujang, dia tetap meneruskan pemberian setiap bulan tersebut, dengan jumlah yang sama.Harap ustaz dapat membantu saya kerana bukanlah si suami itu bermaksud ingin mengabaikan isteri tetapi kerana orang tua si suami memang memerlukan. Saya pernah mendengar suatu ceramah mengatakan keredhaan Allah terletak atas kseredhaan orang tua.

Dan suatu lagi kemusykilan, adakah seserorang isteri itu berhak menghalang pemberian suaminya kepada orang tua suaminya ?

Harap uztaz dapatmembantu saya.

Wassalam

Shamsulaizan aizan@teras.com.my
 



JAWAPAN SOALAN 6:

Untuk menjawab soalan saudara memang hal tersebut merupakan suatu kemusykilan, antara kewajiban suami memberi nafkah zahir dan kewajibannya membantu orangtua.

Yang perlu saudara ketahui adalah kewajiban saudara memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri seperti perjanjian yang saudara lafazkan masa ketika akad nikah, dan kedua orangtua saudara juga dibawah tanggungan saudara yang wajib saudara penuhi keperluannya, yang paling terpenting adalah saudara perlu bersifat adil iaitu tidak berat sebelah, dengan tidak memudharatkan salah satu daripadanya, keadilan bukan bererti mambahagi sama rata, akan tetapi melihat yang manakah yang lebih banyak memerlukan dan lebih mustahak, kemungkinan orangtua saudara memerlukan RM 600 setiap bulan, dikeranakan adanya tanggungan anak-anak yang masih memerlukan pembiayaan, sewa rumah dan biaya makan sehari-hari, dan isteri saudara kemungkinan cukup hanya memerlukan RM 400.00 sebulan dikeranakan belum adanya anak atau anaknya masih sedikit, belum banyak memerlukan pembiayayaan yang banyak ataupun sebaliknya.

Jika kedua-duanya sama memiliki tanggungan yang memerlukan sama banyak pembiayaan maka saudara kemungkinan dapat membahaginya dengan sama rata walaupun keduanya tidak mencukupi akan tetapi ianya dapat mengurangkan keduanya tanpa menghilangkan keadilan dikeranakan saudara telah berusaha sekemampuan saudara dan upaya saudara, dan lebih baik lagi jika saudara berusaha menambah pengahasilan saudara agar tidak memudaratkan keduanya. Adapun kadar pemberian yang saudara berikan kepada orangtua saudara semasa sebelum kawin bukan sebagai ukuran untuk mengekalkannya, kerana saudara telah bersedia untuk kawin dan bersedia untuk menanggungnya. Seorang isteri hanya boleh memperingati suami agar berlaku adil dalam pembahagian, bukannya menghalang pemberian suami kepada orang tuanya. Untuk pengetahuan, seorang isteri tidak berkewajiban memberi nafkah kepada suami akan tetapi ia boleh memberikan kepada suami secara sukarela dan redha, jika suami sangat memerlukannya dan hukumnya sebagai sedakah.

Sebagaimana biasanya dulu segala sesuatu ditanggung oleh suami, akan tetapi oleh karena sesuatu hal yang tak dapat dielakkan, sedangkan suami telah berusaha kesana kemari untuk mencari kerja, akan tetapi belum juga berjaya, ataupun keadaan suami yang sedang uzur (sakit ataupun lainnya yang bukan disengajakan) sedangkan isteri ada kemampuan berusaha, ataupun memiliki harta, maka tidaklah mengapa sebagai hidup berumah tangga suami isteri perlulah tulung menulung antara satu dengan lain, ringan sama di jinjing, berat sama dipikul, maka sudah sepatutnya isteri membantu suami dalam keadaan yang sedemikian rupa. Sebagaiman kita maklumi siti Khadijah isteri Nabi s.a.w. telah mengorbankan seluruh hartanya untuk membantu perjuangan suaminya, sehingga Rasulallah S.A.W. mencapai kejayaan. Nabi s.a.w. tidak pernah melupakan jasa bakti isterinya, meskipun Khadijah telah lama wafat. Nabi s.a.w. senantiasa mengenangnya, malah Nabi s.a.w. senantiasa mendo’akan untuk Khadijah, dan juga biasa memberikan bantuan apa saja untuk mereka yang biasa dibantu oleh Khadijah ketika masa hayatnya. Demikianlah sepatutnya kita hidup suami isteri, mestilah saling tulung menulung sebagaimana telah dibuktikan oleh junjungan kita Nabi s.a.w. dan Siti Khadijah, sehingga terciptanya rumah tangga bahagia.
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 7:
1. Apakah boleh seorang ikhwan mengkhitbah seorang akhawat untuk dinikahi dalam jangka waktu yang cukup lama (1 - 2 tahun) kemudian. Kalau boleh apa syarat dan dalilnya ?

2. Apakah boleh seorang muslim yang sholeh (terbina) menikahi muslimah yang ammah (kurang terbina) dengan alasan untuk berdakwah/membimbingnya ?

Darajat darajat@bdg.centrin.net.id
 



JAWAPAN SOALAN 7:

Soalan saudara mengenai khitbah dalam jangka waktu yang lama walaupun tidak ada nash yang melarangnya akan tetapi saudara harus menjauhkan hal-hal yang dilarang dalam agama, menepati janji saudara sehingga tidak menzalimi pihak yang dikhitbah dengan menghianatinya dan sebaiknya saudara menikah langsung tanpa menundanya, kerana tidak ada riwayat Rasulullah s.a.w dan para shahabatnya melakukan hal tersebut

Seorang musl;im yang terbina menikah muslimah yang kurang terbina adalah dibolehkan akan tetapi dikuatirkan ia tidak dapat membinanya sehingga mendapat zuriah yang mewariskan sifat ibunya maka akan terjadi masyarakat yang rosak, Islam menggalakkan seorang untuk memilih perempuan yang hendak dinikahinya adalah seorang wanita yang sholehah (terbina) sehingga dapat memberi jaminan kepada anak turunannya kelak.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 8: Apa hukumnya seseorang yang membaca al-Quran sehingga khatam, tanpa bimbingan dari orang dipercayai tentang hukum tajwid dan tertib bacaannya. Apakah cukup dengan bimbingan yang diperoleh diawal pengajian al-Quran dan nasihat teman-temannya ?

Terimkasih.

Wassalam

Nor Hanita Rahim nita0608@yahoo.com
 



JAWAPAN SOALAN 8: Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Muzammil ayat 4: yang bermaksud: "Bacalah al-Quran itu dengan tartil (perlahan, jelas hurufnya dan benar tajwidnya atau cara bacaannya.)

Rasulallah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai dibacanya al-Quran itu, sebagaimana ia diturunkan (oleh Allah s.w.t. kepada Rasulallah s.a.w.)

Saidina Ali bin Abi Thalib k.w. ketika menafsirkan ayat tersebut (surah al-Muzammil ayat 4), tartil ialah membaca al-Quran secara tajwid dan mengetahui tempat-tempat waqaf (tanda berhenti).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 9: Saya memohon jasa baik ustaz untuk mendapatkan penerangan mengenai wasiat Rasulallah s.a.w. : "……..Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku."

Mahsan smile mahsansmile@hotmail.com



 

JAWAPAN SOALAN 9: 

Memang benar sabda Nabi s.a.w. tersebut, kita tidak akan sesat selama-lamanya jika kita berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w..Jika sekiranya terdapat perselisihan pahaman antara kita, dan kita tak mampu menyelesaikannya maka, marilah kita kembali kepada panduan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.Insya Allah, semua perselisihan itu akan dapat diselesaikan dengan baik.Sebab dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. terdapat panduan-panduan yang baik sekali.

Sejarah telah membuktikan Ummat manusia yang berpecah belah, mundur, bersuku puak, terutama sekali di tanah Arab pada zaman jahiliah, alhamdulillah dalam masa yang singkat sekali, yakni 23 tahun Rasulallah s.a.w. telah berjaya menyatu padukan mereka, sehingga mereka dapat mengalahkan dua kerajaan besar ketika itu yaitu Kerajaan Rome dan Parsi. Islam dapat dikembangkan keseluruh pelosok dunia, malah telah mencapai 1/5 penduduk dunia. Semua ini adalah berkat bimbingan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. adalah panduan utama bagi kita untuk menyelesaikan apa-apa masaalah yang timbul, yang mungkin jika masing-masing kita ingin menyelesaikan mengikut cara masing-masing, sudah tentu tidak akan berjaya, apalagi jika didasarkan kepada emosi ataupun ego masing-masing.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



SOALAN 10:

Assalamu’alaikum Wr.Wb.

Alhamdulillah, Allah telah melimpahkan begitu banyak ilmu-Nya kepada tuan, sehingga dengan banyaknya Ilmu yang tuan miliki, membuat saya tertarik untuk menimba ilmu dari tuan.

Nama saya adalah Indra, seorang Mahasiswa dari Indonesia. Saya hendak bertanya mengenai sesuatu:

Kita tahu bahwa dzuriyat Nabi s.a.w. masih hidup hingga sekarang ini, termasuk tuan. Dan dilingkungan sayapun masih banyak orang-orang keturunan Nabi s.a.w. (habib) seperti tuan.Namun,

  1. Apakah dzuriat Nabi s.a.w. yang hidup sekarang ini benar-benar suci seperti ahli bayt (Ali, Fatimah, Hasan dan Husain) ? artinya apakah kesucian yang Allah berikan kepada Ahli Bayt masih berlaku hingga sekarang ini ?
  2. Aku melihat kawan-kawanku yang temasuk kaum Sayyid, tetapi mereka tidak mencerminkan akhlak mereka sebagai dzuriat Nabi s.a.w.,apakah ini satu bukti bahwa mereka ini sama derajatnya dengan orang biasa ? seperti yang Allah firmankan dalam Quran: Al-Hujuraat:13 ?

  3.  

     
     
     
     
     

Terimakasih,

Wassalamu’alaikum wr.wb,

Hormat saya,

Indra Hikmawan Syaifullah.

Ibnu Saif <ibnusaif@bdg.centrin.net.id>



 

JAWAPAN SOALAN 10:

Wa’alaikum salam w.w.,

Sdr.Indra Hikmawan Syaifullah yang dikasihi !

Menjawab pertanyaan anda, sudah tentu dzuriat Nabi yang hidup sekarang ini, tidak dapat disamakan dengan Ahli Baiyt (Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib, saidatina Fatimatuzzahra, saidina Hasan dan saidina Husein). Sebabnya mereka telah mendapat jaminan dari Allah s.w.t. seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah hanyalah hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu, wahai ahlul baiyt, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya." (al-Quran s.al-Ahzab: 33).

Jika kita mengkaji riwayat hidup mereka, maka nyatalah kepada kita bahwa semua mereka itu telah tinggal bersama nabi s.a.w. semenjak kecil lagi hingga mereka dewasa. Mereka mendapat asuhan dan didikan langsung dari Nabi s.a.w. dalam segala hal, sudah tentu kesucian mereka tidak dapat disamakan dengan lain-lainnya.

Meskipun demikian jika keturunan mereka juga mengikut jejak langkah datuk-moyang mereka, sehingga ketingkat yang tertinggi dan kuasa mengampunkan seseorang, kuasa membersih dan mensucikan seesorang, kuasa memuliakan seseorang, kuasa mengangkat derjat seseorang demikian pula sebaliknya adalah dalam kekuasaan Allah s.w.t, Allah berkuasa berbuat sesuatu.

Adapun kawan-kawan anda yang termasuk kaum Sayyid, tetapi mereka tidak mencerminkan akhlak seperti yang telah ditunjukkan oleh keturunan mereka, maka mereka layak seperti firman Allah dalam al-Quran: s. al-Hujurat: 13 yang bermaksud:
"Hai manusia, sesunggguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa bersuku puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertakwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya."
 

|| Ke Atas || Ke Halaman Utama ||