PENGURUSAN MASA (4)

   Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
 

Setelah turunnya wahyu yang pertama itu (surah al-Alaq 1-5), kepada Nabi s.a.w., mulailah Nabi s.a.w. mengadakan Dakwah secara senyap, mengajak ummat manusia kejalan yang benar, jalan yang diredhai  Allah s.w.t. Ketika itu manusia telah jauh menyimpang dari ajaran  Tauhid. Penyembahan kepada Allah s.w.t.Tuhan yang Maha Esa, telah bertukar menyembah kepada banyak tuhan. Disamping itu juga menyembah  patung berhala. Ada pula yang menyembah kepada manusia, matahari, bulan, bintang, pohon kayu, batu, dan berbagai lagi  penyembahan lainnya.
Perikemanusiaan telah mengarah kepada sifat-sifat kebinatangan yang  kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin. Kezaliman  dimana-mana. Akhlak manusia begitu rendah sehingga ada yang sanggup  mewarisi dan mengawini ibu tirinya, bila ayahnya telah mati.

Pembunuhan, pencurian, perompakan, perzinaaan itu perkara  biasa. Bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan karena perbuatan  manusia. Nabi Muhammad s.a.w. cuba membetulkan semua ini. Manusia  berpecah belah, bersukupuak. Masing-masing menganggap sukunya yang paling mulia dan hebat, dan berusaha untuk menakluki puak  lainnya. Sehingga perkelahian dan peperangan timbul, dari masa kesemasa.

Dakwah secara senyap yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. untuk mengajak
manusia supaya berbaik-baikan antara satu dengan lain tidak dihiraukan. Hal seperti ini terjadi sehingga masa tiga tahun. Meskipun demikian  usaha gigih Nabi s.a.w, tidak sia-sia. Nabi s.a.w.mendapat pengikut  sedikit demi sedikit hingga mencapai 40 orang.

 Pada akhir tahun ketiga dari kerasulan, mulailah Nabi s.a.w, mengadakan 
 Dakwah secara terang-terangan. Semenjak itu mulailah pula berbagai 
 halangan dan rintangan, dan berbagai tekanan dilakukan oleh pimpinan 
 kaum Quraisy. Mereka mendatangi Abu Thalib, bapak saudara Nabi  s.a.w, dengan berbagai tantangan dan ancaman.

Halangan dan rintangan menjadi-jadi. Ramai para pengikut Nabi s.a.w. 
yang dianiaya, disiksa, dibunuh dengan kejamnya. Oleh kerana Nabi s.a.w. tidak sanggup lagi mendengar tangisan para pengikutnya yang setia itu, maka  Rasulallah s.a.w. mengarahkan mereka supaya Hijrah ke Habsyah, ia itu berpindah  mencari perlindungan. Sedangkan Rasulullah s.a.w.masih tetap tinggal di  Makkah menanggung segala azab sengsara yang dilakukan oleh kaum Quraisy. 

Rasulullah s.a.w. rela menanggung semua itu demi melaksanakan  perintah Dakwah, menyeru manusia kejalan yang benar, jalan yang diredhai  oleh Allah s.w.t. dengan tidak mengharapkan apa-apa upah.

Setelah pimpinan kaum Quraisy gagal menghentikan usaha Dakwah Nabi 
 s.a.w. dan Nabi s.a.w.dengan usaha gigih terus maju dalam perjuangan  suci ini, membela mereka yang dizalimi, membela mereka yang lemah. Dari  hari kehari sokongan tiba dari berbagai pihak, terutama daripada  mereka yang lemah, miskin yang merasa mereka telah mendapat pembelaan  dari Nabi s.a.w.

Pimpinan kaum Quraiy menemui Abu Thalib, bapak saudara Nabi s.a.w.dan mengharapkan pamannya itu mempengaruhi Nabi s.a.w.dengan  tawaran yang menarik hati, yang biasanya ramai manusia biasa  terpengaruh dan menerimanya. Antaranya Nabi s.a.w,ditawarkan, " jika  sekiranya Muhammad inginkan kekayaan, akan kami berikan sebanyak mana  yang dia mahu. Jika inginkan pangkat ataupun kuasa, akan kami jadikan  dia Ketua kami. Jika sekiranya Muhammad inginkan wanita cantik, molek dan menawan akan kami sediakan juga".

Adakah Nabi s.a.w. tertawan dengan segala tawaran yang menarik hati itu? Biasanya ramai pemimpin akan mundur dari perjuangan, sekiranya  mereka diberikan tiga ta itu, yaitu, "harta, takhta, wanita". Ramai  pemimpin yang bertekuk lutut dan tenggelam dalam kemewahan dan  kekuasaan yang ada. Ramai yang terhenti perjuangan mereka dalam  mempertahankan kuasa, harta dan wanita yang telah dimilikinya itu. Ramai  pemimpin tak sanggup lagi berjuang. Ramai pemimpin yang mengkhianati  sahabat seperjuangan, kerana khuatir kuasa, harta, wanita yang telah  dimilikinya itu akan lenyap jika dia meneruskan perjuangan.

 (bersambung)