PENGURUSAN MASA (5)

oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
 

Semua tawaran pimpinan kaum Quraisy ditolak oleh Rasulullah s.a.w.,
meskipun tawaran seperti itu pada adatnya membuatkan ramai manusia mundur daripada perjuangan. Malah biasa terjadi, salah satu saja daripada tiga tawaran itu sudah membuatkan ramai manusia terpengaruh dan menyerah kalah.

Tawaran kedudukan yang tinggi, tawaran harta kekayaan yang melimpah ruah, tawaran wanita yang cantik molek, semuanya itu tidak dapat mempengaruhi diri Rasulullah s.a.w. Perjuangan Rasulullah s.a.w. adalah
perjuangan yang ikhlas kerana Allah untuk menyelamatkan ummat manusia daripada jurang kebinasaan dan kehancuran.

Perjuangan Rasulullah s.a.w.adalah perjuangan yang ikhlas dan suci 
kerana Allah s.w.t. dan bukanlah disebabkan kepentingan diri, ataupun
kepentingan keluarga. Nabi s.a.w.berjuang bukan pula disebabkan
mengharapkan sesuatu balasan keduniaan yang biasanya menjadi idaman dan tujuan ramai manusia.

Dengan semangat waja demi kewajiban dan tanggung jawab kepada
Allah s.w.t, Nabi tidak   berjuang separuh jalan. Dengan perasaan kasih sayang dan hormat kepada Bapak saudaranya, Nabi s.a.w.menjawab, "Wahai pamanku, meskipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, untuk menghentikan aku dalam usahaku ini, tidak, aku tidak akan berhenti, sehingga Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepadaku, ataupun aku binasa dalam usahaku ini."

Inilah suara keyakinan waja yang telah dilahirkan oleh Nabi s.a.w.
dalam berjuang menegakkan Kebenaran dan Keadilan, perjuangan menegakkan Islam, perjuangan kepada yang benar yang diredhai oleh Allah s.w.t. Itulah suara Iman dan Tauhid Nabi s.a.w. sehingga Abu Thalib berkata, "Muhammad! Buatlah sebagaimana sukamu! Demi Allah aku tidak akan meninggalkan kamu untuk selama-lamanya".

Bukannya Nabi s.a.w. tidak tahu berterimakasih kepada paman yang
tercinta (Abu Thalib) yang telah mengasuh dan memberikan segenap
pertolongan kepada Nabi s.a.w. semenjak Datuk Nabi s.a.w. Abdul Muthalib wafat, ia itu semenjak Nabi berusia 8 tahun. Nabi s.a.w.sangat
menghormati bapak saudaranya Abu Thalib yang telah banyak berjasa
kepadanya dan membela Nabi dengan segala daya yang ada.

Nabi s.a.w. juga menyedari tentang bahaya yang mengancam dari
segenap penjuru, yang membuat pamannya itu serba salah. Abu Thalib sebagai orang yang dihormati dan disanjungi oleh kaum Quraisy, di pihak lainnya Abu Thalib sedar tentang betapa suci dan ikhlasnya apa yang diperjuangkan oleh Nabi s.a.w. Jadi semua tawaran itu disampaikan Abu Thalib kepada Nabi s.a.w. dan mengharapkan kalau-kalau nabi s.a.w. menerima semua tawaran pimpinan kaum Quraisy. Jika Muhammad s.a.w. menerimanya, bererti segala ancaman dan penganiayaan terhadap anak saudaranya itu akan dihentikan.

Jika tawaran pimpinan kaum Quraisy ia itu untuk menjadikan Nabi s.a.w. sebagai raja mereka, dan memberikan harta kekayaan yang melimpah 
ruah dan juga akan menyediakan seberapa ramai wanita cantik dan menarik
untuk Rasulallah s.a.w., diterima oleh Nabi s.a.w.sudah tentu perjuangan
suci Nabi s.a.w akan terhenti, dan Islam yang diperjuangkan Nabi s.a.w.tidak dikenal oleh sejarah Dunia.

Nabi Muhammad tidak menerima tawaran di atas kerana selain daripada bertentangan dengan matlamat perjuangan beliau, tetapi tawaran tersebut telah diberikan dengan syarat-syarat yang amat berat. Syarat-syarat yang diberikan oleh penguasa Quraisy ialah hentikanlah perjuangan menegakkan Islam, hentikanlah usaha melaksanakan Hukum Allah di bumi Allah, hentikanlah melaksanakan segala usaha menegakkan kebenaran dan
keadilan, hentikanlah segala usaha untuk membela mereka yang tertindas.

Nabi s.a.w.lebih suka memilih penderitaan dan penganiayaan serta azab sengsara yang dilakukan oleh kaum Quraisy daripada menjual Iman dan Tauhidnya kepada musuh Allah dan RasulNya. Keyakinan seperti inilah, telah membuatkan pengikutnya juga sama-sama menjadi tabah menghadapi segala penganiayaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy.
 
 


(bersambung)