PENGURUSAN MASA (6)

Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
 

Orang-orang  Quraisy meninggalkan rumah Abu Thalib dalam keadaan kecewa dan marah, kerana semua tawaran mereka ditolak oleh Nabi s.a.w. Mereka terus berusaha untuk menyekat perjuangan Nabi s.a.w.  dalam mengajak manusia untuk hanya menyembah Allah s.w.t. Tuhan yang Maha Esa. Mengajak manusia kejalan perpaduan dan kasih sayang. Menyeru manusia kejalan yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Semenjak itu masa kehidupan Nabi s.a.w. dipenuhi dengan perjuangan untuk menegakkan Islam. Semenjak itu pula rintangan, cacian dan makian daripada pihak Quraisy semakin menjadi-jadi. Nabi s.a.w. dicaci, dimaki, diperolok- olokkan, dihina, diletakkan kotoran binatang ditubuhnya ketika Nabi s.a.w. sedang solat. Anakanda Nabi, ia itu  siti Fatimah datang dan membersihkan kotoran yang ditaburkan itu dari tubuh ayahandanya yang tercinta.

Ketika itu para pengikut Nabi s.a.w. juga tidak luput daripada  dianiayai dan dizalimi oleh kaum Quraisy dengan teruknya. Bilal bin Rabah salah seorang hamba abdi kepunyaan Umaiyah bin Khalaf, telah disiksa dengan kejamnya setelah Bilal memelok Islam. Bilal dipukul, dijemur di bawah matahari yang  terik, dan diletakkan batu dia tas tubuhnya. 

Semua siksaan itu akan dihentikan jika sekiranya Bilal  keluar dari Islam, dan tunduk kembali atas segala suruhan Ummaiyah bin Khalaf. Dengan tabahnya Bilal tetap pada pendiriannnya. Ia tidak berganjak sedikitpun. Lidahnya tetap mengucapkan kata-kata ahad, ahad, ahad, yang bermaksud Allah maha Esa, Allah maha Esa.

Bilal kemudianya, dibeli dan dimerdekakan oleh Abu Bakar atas arahan Nabi s.a.w.. Bilal akhirnya mengabdikan dirinya kepada Nabi s.a.w. terutama sebagai muazzin (menyeru manusia untuk menunaikan solat).

Demikian pula sahabat Nabi s.a.w. yang lainnya seperti Ammar dan orang tuanya. Setelah mereka memelok Islam, kaum musyrikin memaksa tiga beranak ini meninggalkan rumah mereka dimusim sangat panas, dan membiarkan mereka berada di padang pasir dengan angin gurunnya yang panas membakar. Penyiksaan yang sedemikian dilakukan berulang kali, sehingga akhirnya ayah Amar yang bernama Yasir, meninggal dunia disebab penyiksaan ini. 

Demikian pula Sumayyah, ibunda Ammar, suatu hari terjadi pertengkaran dengan Abu Jahal, berkenaan dengan masalah kemasukannya kedalam Islam. Akhirnya Abu Jahal membunuh Sumayyah dengan kejamnya ia itu dengan menikam tombaknya, ke jantung Sumayyah. 

Ammar juga telah disiksa sedemikian rupa sehingga Ammar terpaksa mengikuti kemauan mereka demi untuk menyelamatkan nyawanya, sedangkan hatinya tetap beriman kepada Allah s.w.t. 

Hal ini telah diceritakan oleh Ammar kepada Nabi s.a.w.dan nabi bersetuju dengan apa telah dibuat oleh Ammar, kerana  terpaksa dilakukan  untuk menyelamatkan nyawanya.
 
 


(bersambung)