PENGURUSAN MASA (9)

Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
 

Rasulallah s.a.w.adalah contoh teladan yang sebaik-baiknya bagi kita, dalam 
semua hal, termasuk dalam hal pengurusan masa. Sebab nabi s.a.w.telah berjaya membawa perobahan yang luar biasa dalam semua bidang dalam masa yang begitu singkat (hanya 23 tahun). 

Baginda telah berjaya merubah  masyarakat musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak, zalim, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai menipu yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan disebabkan amal perbuatan mereka. 

Semuanya itu telah dirobah, menjadi masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. Masyarakat yang berpecah belah, bersuku puak, telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. 

Masyarakat yang zalim, menjadi masyarakat yang harmonis dimana silemah dilindungi, simiskin dibela nasib mereka, wanita mendapat hak-hak mereka yang sebelumnya mereka tak punya nilai, hanya sebagai alat untuk pemuas nafsu lelaki sahaja.

Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.dari sehari ke sehari terus mendapat sambutan dari orang ramai. Pimpinan Quraisy semakin khuatir, kepimpinan mereka akan beralih kepada kepimpinan Nabi s.a.w. Oleh itu mereka bekerja keras untuk menghalang perkembangan Islam dengan berbagai cara. 

Tetapi semua usaha mereka yang jahat itu tak dapat menyekat usaha gigih Nabi s.a.w. dan pengikutnya yang setia. Melihat kegagalan demi kegagalan yang mereka alami, maka pihak penguasa Quraisy, mulai berlembut dan mengajak bekerjasama untuk menghilangkan segala perbedaan yang ada. 

Sebagai permulaan mereka sanggup menyembah Allah s.w.t.disatu masa dan dilain masa pula nabi s.a.w. dan ummat Islam diminta menyembah berhala yang mereka ciptakan. Semua ajakan tolak ansur yang menyesatkan ini, juga ditegah untuk diamalkan. 

Kita dilarang keras menyembah makhluk, apakah dia berhala, apakah 
dia manusia, ataupun hewan, binatang dsb. 

Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (ya Muhammad):"Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Aku tak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tiada menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."
(Q.S.al-Kaafirun:1-6)

Inilah suara Iman dan Tauhid yang sebenarnya. Kita dilarang keras 
mensyarikatkan Allah dengan apapun juga. Semua dosa Allah akan ampunkan akan tetapi, dosa mensyarikatkan (menyengutukan)  Allah tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t.

Pemimpin Quraisy menjadi berang, mereka berusaha pula mengadakan berbagai tekanan yang lainnya, yang kemuncaknya dengan mengambil suatu keputusan bersama, untuk memulaukan Nabi s.a.w.dan para pengikutnya yang setia, supaya nabi s.a.w. dan pengikutnya menjadi lemah dan menyerah kalah.

Pimpinan Quraisy mengadakan pertemuan dan menagambil suatu keputusan 
bertulis, dan digantungkan di ka'bah, sebagai satu keputusan yang mesti 
dilaksanakan dan dipatuhi oleh semua suku Quraisy untuk memulaukan Nabi 
s.a.w. dan kaum beliau Bani Hasyim, antaranya isi dari keputusan itu ialah:

(1) Melarang semua orang Quraisy berurusan perniagaan dengan Nabi dan 
pengikut Nabi s.a.w.

(2) Tidak boleh mengadakan ikatan pernikahan dengan kaum Muslimin.

(3) Melarang sesiapapun untuk bergaul dengan Muhammad dan pengikutnya.

(4) Pihak Quraisy akan bekerjasama dan membantu sesiapa yang sedia memusuhi Muhammad dan pengikutnya.

Teks perjanjian itu disahkan oleh semua pemuka Quraisy dan dilaksanakan 
dengan tegas.

Abu Thalib bapak saudara nabi s.a.w. sebagai pendukung dan pembela utama Nabi s.a.w. menjemput semua kerabat nabi s.a.w.dari keturunan Bani Hasyim, dan meminta mereka supaya bertanggung jawab dan membela Nabi s.a.w. 

Semua  kerabat Nabi s.a.w. daripada kalangan  Bani Hasyim diarahkan berkumpul di sebuah lembah gersang, yang terkenal dengan nama lembah Abu Thalib. Pemulauan ini berjalan selama tiga tahun. Kezaliman yang diluar perikemanusiaan ini, terpaksa ditangggung oleh semua keluarga Bani Hasyim, dalam suasana kekurangan makanan dan minuman, sehingga ada yang terpaksa memakan umbut-umbut rumput, kulit binatang, dan sebagainya demi mengisi perut yang sedang dalam kelaparan .
 
 



(bersambung)