|| Laman Utama || Asas Syariat Islam || Tulisan Ustaz || Belajar Bahasa Al-Quran || Artikel Pilihan || Audio || Sumbangan ||


HIJRAH DAN KEJAYAAN

Ustaz Sayed Hasan Alatas

http://www.shiar-islam.com


Setiap tahun kita menyambut datangnya tahun baru Hijrah. Kita bersyukur kepada Ilahi Rabbi karena Tahun Hijrah mengandungi makna yang mendalam dalam sejarah kejayaan Nabi s.a.w.,. dalam perjuangan beliau yang telah membawa perobahan yang besar sekali untuk Islam dan Ummatnya. Kita patut berterimakasih kepada Khalifah Ummar ibnu Khattab yang telah menerima pandangan Imam Ali bin Abi Thalib, untuk menjadikan tarikh permulaan tahun Islam, dimulai dari Hijrahnya Nabi s.a.w. dari Makkah ke Yathrib (Madinah).

Tahun Hijrah telah membawa perobahan yang luar biasa bagi perjuangan Nabi s.a.w. dalam menyelamatkan Ummat manusia dari jurang kebinasaan. Peristiwa Hijrah membawa makna pemisahan antara kebenaran dan kebatilan, antara Islam dan kekufuran.
Peristiwa Hijrah telah membawa kejayaan yang terbilang bagi berdirinya daulah Islamiyah (negara Islam) dibawah pimpinan Nabi Mohammad s.a.w. Ketika itu Nabi s.a.w. sendiri adalah sebagai Ketua Negara Islam yang pertama.

Sebelum Hijrah Nabi s.a.w. dan ummat Islam telah mengalami penderitaan yang luar biasa, mereka dianiaya dengan berbagai kezaliman, malah ramai menjadi korban penganiayaan dan penyiksaan serta pembunuhan. Malah kaum kuffar dan musyrikin di Makkah ketika itu telah sepakat secara bersama ingin membunuh Nabi s.a.w. Rencana jahat mereka telah diketahui oleh Nabi s.a.w. menerusi wahyu Ilahi, dan Allah s.a.w. telah memerintahkan Rasulallah s.a.w. supaya Hijrah.

Sahabat, yang juga sepupu Nabi s.a.w. yaitu Imam Ali bin Abi Thalib rela menyediakan dirinya menjadi korban senjata musuh dan dengan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Kesanggupan beliau tidur ditempat tidur Nabi s.a.w., menyebabkan musuh menyangka yang tidur ditempat itu adalah Mohammad s.a.w. Akhirnya mereka kecewa karena orang yang mereka ingin bunuh telah Hijrah keluar kota bersama sahabatnya yang setia Abu Bakar Siddiq.

Walaupun Rasulallah s.a.w. mendapat jaminan pertolongan dari Allah s.w.t. , beliau terlebih dahulu telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, untuk menyelamatkan perjuanganya dengan mengatur langkah, bersembunyi digua Thaur terlebih dahulu. Setelah musuh tidak lagi mengancam keselamatan perjalanan, maka beliau dan sahabatnya Abu Bakar melanjutkan perjalanannya menuju Yathrib.

Ketika tiba di Yatrib (Madinah) Nabi s.a.w. telah disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh penduduk Yatrib. Usaha pertama dilakukan beliau ialah dengan mendirikan sebuah masjid, yaitu terkenal dengan Masjid Quba. Setelah itu Nabi menyusun masyarakat Madinah dengan mempersaudarakan antara kaum Muhajirin yang berhijrah dari Makkah dengan saudara mereka kaum Ansor, yang berada di Madinah. Persaudaraan tersebut demikian eratnya, sehingga ummat Islam bagaikan satu bangunan yang kukuh. Mereka saling bantu membantu. Mereka berjuang dalam satu barisan bagaikan satu bangunan yang kukuh saling kuat menguatkan antara satu dengan lainnya.

Nabi s.a.w juga telah berjaya mengajak semua kaum yang terdiri dari berbagai agama dan kabilah untuk saling bekerjasama, bantu membantu satu dengan lainnya dalam mempertahankan Negara Islam, yang baru didirikan, dibawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah Hijrah, Ummat Islam berada di alam kemerdekaan, dimana mereka dapat menunaikan tanggung jawab mereka kepada Allah dan kepada manusia mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Setelah Hijrah ajaran Islam berkembang dengan pesatnya keseluruh jazirah Arab dan menembus keseluruh pelosok dunia.

Jika Ummat Islam kini dapat menjiwai dan melaksanakan kembali semangat Hijrah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dan ummat Islam ketika itu, Insya Allah keadaan Ummat Islam tidak seperti sekarang ini, kita yakin Insya Allah dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Ummat Islam akan memperoleh kejayaanya kembali, amin ya Rabbal ’alamin.